TENTANG KONVENSYEN KETAMADUNAN DUNIA
Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD) merupakan pertubuhan belia yang berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Malaysia (ROY) dengan nombor pendaftaran PPBM 6353/10. GPTD aktif dalam mengukuhkan pembangunan modal insan melalui aktiviti kajian tokoh Islam dan khidmat sosial di Malaysia dan pentas antarabangsa.
Program utama yang dianjurkan oleh GPTD ialah Konvensyen Ketamadunan Dunia (KKD). Sebelum ini, KKD telah dianjurkan sebanyak tiga siri dan kali ini merupakan siri yang keempat. Setiap KKD mengangkat tema yang berbeza-beza dan untuk KKD 4.0, tema yang ditetapkan ialah iktibar dan pengajaran daripada 100 tahun berakhirnya kekhalifahan Islam.
KKD pada kali ini yang dianjurkan bersama Benevolent Malaysia akan dirasmikan oleh YB Senator Dr. Zulkfili bin Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Selain itu, kerjasama penganjuran KKD kali ini diperluaskan lagi dengan penglibatan pelbagai pihak agar program ini menjadi lebih berkesan serta diharap untuk menarik penyertaan segenap lapisan masyarakat.
KKD 4.0 akan menyoroti sejarah secara umum kekhalifahan Islam dengan penekanan kepada kekhalifahan Uthmaniyah yang berakhir pada tahun 1924. Menerusi program ini, turut diangkat ibrah dan pelan tindakan yang perlu dirangka bagi mencetuskan kembali kebangkitan umat Islam setelah 100 tahun hilangnya kekhalifahan.
Pelaksanaan program ini mencakupi tiga aspek utama iaitu SEMINAR, ACARA SAMPINGAN dan PAMERAN & JUALAN . Ketiga-tiga aspek ini diperincikan dalam tentatif pada muka utama laman ini. Dengan menelusuri sejarah dan menterjemahkan kepada tindakan untuk masa kini dan akan datang, program ini bertujuan untuk menawarkan solusi untuk umat Islam khususnya di Malaysia dalam menangani situasi semasa.
FAKTA TENTANG KHALIFAH
Siapakah khalifah pertama dalam Islam?
Abu Bakar al-Siddiq RA adalah khalifah pertama dalam sejarah Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad ﷺ . Khalifah adalah jawatan tertinggi dalam kepimpinan umat Islam.
Apakah gelaran yang digunakan untuk merujuk kepada seorang khalifah?
‘Amirul Mukminin’ adalah gelaran yang mula-mula digunakan oleh Umar al-Khattab RA . Abu Bakar sebelumnya hanya menggunakan istilah ‘Khalifah Rasulullah’ dalam mengutus surat dengan maksud beliau selaku pengganti Nabi Muhammad ﷺ .
Apakah fasa-fasa kekhalifahan yang utama dalam sejarah Islam?
- Khulafa’ al-Rasyidin
- Bani Umayyah
- Bani Abbasiyah
- Uthmaniyah
Di manakah pusat-pusat kekhalifahan Islam?
Madinah & Kufah – Khulafa al-Rasyidin
Damsyik & Kordoba – Bani Umayyah
Kufah, Baghdad, Samarra & Kaherah – Bani Abbasiyah
Istanbul – Uthmaniyah
Bilakah kekhalifahan berubah daripada dipilih melalui syura kepada monarki (warisan)?
Bani Umayyah telah memulakan sistem monarki dalam Islam, dimulakan oleh Mu’awiyah yang melantik anaknya Yazid menjadi khalifah menggantikannya. Sejak itu, ia menjadi tradisi baharu tanpa pemilihan menerusi sistem syura.
Bagaimana kekhalifahan Bani Umayyah di Kordoba terbentuk?
Apabila Amir Abdul Rahman al-Nasir bertindak mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah ketika kekhalifahan di Baghdad sedang bergolak dan melemah. Dalam pada masa yang sama, Dinasti Fatimiyyah juga mengisytiharkan kekhalifahannya menjadi ancaman buat Muslim di Utara Afrika dan Al-Andalusia.
Bagaimana kekhalifahan Bani Abbasiyah boleh wujud di Kaherah selepas kota Baghdad dijarah oleh tentera Mongol?
Menerusi waris keturunan khalifah Bani Abbas yang bernama al-Mustansir mengisytiharkan dirinya sebagai pewaris kekhalifahan dan kemudiannya dinaungi oleh pemerintahan kesultanan Mamluk.
Bagaimana kekhalifahan berpindah ke tangan kerajaan Uthmaniyah?
Menerusi kekalahan tentera Mamluk menghadapi tentera Uthmaniyah pimpinan Sultan Selim I di Marj Dabiq pada tahun 1516. Khalifah terakhir Bani Abbasiyah, al-Mutawakkil menyerahkan gelaran dan jawatan sebagai khalifah kepada Sultan Selim I.